Syed Saddiq ‘Selebriti Politik’


Dalam tempoh sedekad ini, Malaysia menyaksikan ramai golongan belia memasuki arena politik tempatan.

Salah seorangnya adalah adalah ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beliau masih kekal berada dalam arena politik sehingga hari ini.

Bermula sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), kini Syed Saddiq menjadi Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Namun,penglibatan Syed Saddiq dalam bidang politik sejak dari awal diragui dan sering dikritik sehingga kini.

Ramai menyifatkan Syed Saddiq hanya mahu meraih populariti dan bukannya mahu menjadi pemimpin muda yang disegani.

Sejauh mana kebenaran Syed Saddiq mengamalkan konsep ‘selebriti politik’?

Terlebih dahulu, perlu difahami bahawa konsep selebriti politik ini menjadi polemik dalam kalangan pemerhati politik kontemporari.

Istilah berkenaan merujuk kepada seseorang individu itu bukan hanya dikenali dari segi pencapaiannya dalam politik malahan kerana imej serta perwatakan yang ditonjolkan oleh mereka.

Syed Saddiq tergolong dalam kategori itu berikutan pertambahan medium media sosial pada masa kini, sekali gus mendorong ahli politik seperti beliau lebih aktif secara dalam talian.

Penglibatan aktif beliau dalam media sosial menyebabkan orang ramai menyifatkan Syed Saddiq sebagai seorang selebriti dan bukannya ahli politik yang benar-benar menjalankan tugasnya.

Ramai berpendapat kemunculan Syed Saddiq dalam pelbagai platform media sosial serta rancangan bual bicara dikendalikan oleh portal-portal media bebas telah menenggelamkan statusnya sebagai ahli politik.

Populariti Syed Saddiq dalam media sosial secara tidak langsung telah menyebabkan kredibilitinya dalam bidang politik semakin menurun.

Syed Saddiq kerap kali menerima kritikan kerana dilihat tidak serius dan menggunakan kerjaya politik untuk menaikkan imejnya semata-mata.

Pendapat ini disokong oleh tindakan Syed Saddiq yang kerap membuat kenyataan secara populis dan tidak memikirkan impak serta kesan dalam kalangan rakyat.

Antara kenyataan populis yang dikeluarkan oleh Syed Saddiq adalah mahu membantu rakyat Muar khususnya membina 1,000 buah rumah untuk penduduk setempat.

Namun sehingga kini, banyak janjinya masih belum ditepati dan wujud laporan sebelum ini, ramai rakyat Muar tidak berpuas hati kerana Syed Saddiq gagal melunaskan apa yang pernah diperkatakan kepada mereka.

Tugas utama ahli politik adalah memahami dan menyelesaikan masalah-masalah sosial, ekonomi, dan politik yang dihadapi oleh rakyat.

Waktu dihabiskan di media sosial boleh mengganggu proses penyelesaian masalah yang berterusan khususnya dalam merangka dasar berkesan.

Kebanyakan isu yang dibahaskan oleh Syed Saddiq tidak mendapat sokongan daripada orang ramai serta ahli politik lain.

Isu ganja, isu pendidikan seks di sekolah dan isu pencen politik antara isu yang dibangkitkan oleh Syed Saddiq namun gagal diberi perhatian khusus.

Ramai pemerhati politik dan rakyat menyifatkan Syed Saddiq berfikiran terlalu liberal serta tidak memahami impaknya kepada rakyat jika isu-isu yang dibangkitkan itu dibawa ke peringkat dasar.

Tuntasnya, meskipun media sosial merupakan medium komunikasi yang penting, namun Syed Saddiq perlu memastikan beliau lebih banyak memberi fokus kepada tugas politik.

Ahli politik bukan perlu hebat di media sosial sebaliknya rakyat akan menilai mereka dari segi membawa perubahan yang positif serta memberi impak kepada masyarakat.

Lebih banyak kelemahan yang perlu diambil kira khususnya dalam soal kredibiliti ahli politik tersebut.

Syed Saddiq perlu menyedari populariti sahaja tidak cukup untuk menjamin tempatnya dalam politik bagi jangka masa panjang, sebaliknya rakyat kian bijak menilai pencapaian seseorang ahli politik.

Beliau perlu mengambil langkah proaktif untuk menunjukkan keteladanan yang baik dalam kalangan pemimpin muda serta golongan belia bagi mencapai Syed Saddiq mencapai status sebagai ahli politik berjiwa rakyat.

Comments