Muhyiddin Bakal Karamkan Bersatu

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah membawa Bersatu sampai ke Putrajaya dan menjadi Perdana Menteri, tetapi parti tersebut pada hari ini berdepan keadaan yang jauh berbeza.

Pada Februari 2026, 16 Ahli Parlimen Bersatu sendiri menyokong gesaan supaya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Presiden kerana mendakwa beliau sudah tidak mampu menyatukan parti dan membawanya menuju kemenangan.

Tidak lama kemudian, Timbalan Presiden Bersatu ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dipecat bersama beberapa pemimpin lain ketika perebutan dalaman semakin memuncak.

Masuk September pula, pemimpin dan ketua cawangan Bersatu di Padang Besar meninggalkan parti selepas menyatakan mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan pusat.

Muhyiddin masih berada di kerusi Presiden, tetapi apabila semakin ramai orang kanan meninggalkan kapal, persoalannya bukan lagi siapa kaptennya.

Persoalannya, kapal Bersatu sebenarnya masih mahu belayar ke mana?

SUMBER: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/02/1322337/16-ahli-parlimen-bersatu-desak-muhyiddin-letak-jawatan-presiden

Kalau kritikan terhadap Muhyiddin hanya datang daripada Pakatan Harapan (PH) atau UMNO, mungkin mudah untuk Bersatu mengatakan semuanya serangan politik.

Tetapi kali ini, suara itu datang daripada dalam 'rumahnya' sendiri.

Seramai 16 Ahli Parlimen Bersatu secara terbuka menyokong desakan Ronald Kiandee supaya Muhyiddin berundur sebagai Presiden kerana dia tidak lagi mampu menyatukan parti atau memimpin parti berkenaan menuju kemenangan dalam pilihan raya.

Desakan itu bukan datang seorang dua ahli akar umbi yang marah kerana tidak mendapat jawatan.

Gesaan itu hadir daripada satu kumpulan besar Ahli Parlimen parti yang Muhyiddin sendiri pimpin.

Lebih dramatik, Bersatu kemudian berdepan pemecatan besar-besaran termasuk Hamzah, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan beberapa wakil rakyat lain.

Muhyiddin mungkin berjaya mempertahankan kerusi Presiden selepas krisis tersebut, tetapi memenangi pertarungan dalaman tidak semestinya bermakna masalah sudah selesai.

Muhyiddin kekal di posisi sama namun semakin banyak 'kerusi' di sekelilingnya sudah kosong.

SUMBER: https://www.astroawani.com/berita-politik/17-ahli-bersatu-dipecat-libatkan-empat-ahli-parlimen-dan-dua-adun

Inilah masalah yang semakin jelas apabila nama-nama pemimpin kanan mula hilang daripada Bersatu satu demi satu.

Hamzah bukan sekadar ahli biasa. Dia pernah menjadi Timbalan Presiden dan tokoh utama pembangkang sebelum dipecat.

Wan Ahmad Fayhsal, Fathul Huzir Ayob dan Azahari Hasan pula antara Ahli Parlimen yang turut kehilangan keahlian ketika krisis tersebut.

Di Padang Besar, pimpinan bahagian bersama 14 ketua cawangan pula memilih meninggalkan Bersatu kerana mendakwa sudah tidak lagi mempercayai kepimpinan pusat.

Mereka kemudiannya memilih bergerak bersama Parti Wawasan Negara di bawah Hamzah.

Parti politik boleh memecat sesiapa yang didapati melanggar perlembagaan atau disiplin parti. Itu hak organisasi.

Namun, kalau penyelesaian kepada setiap pertelingkahan akhirnya menyebabkan semakin ramai pemimpin berpengalaman diusir keluar, Bersatu juga perlu bertanya kepada diri sendiri, apa yang tinggal selepas proses 'pembersihan' tersebut selesai.

SUMBER: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2026/06/1573644/pn-hentikan-khidmat-radzi-jidin-azmin-ali-serta-merta-dr-sam

Masalah Bersatu hari ini tidak terhenti pada krisis kepimpinan, tetapi sudah mula kelihatan pada prestasi pilihan raya.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026, Perikatan Nasional (PN) gagal memenangi kesemua 33 kerusi yang ditandinginya, termasuk 16 calon daripada Bersatu.

Sebulan kemudian di Negeri Sembilan, Bersatu memilih bertanding menggunakan lambang sendiri di 24 kerusi, tetapi gagal memenangi satu pun daripadanya dan hanya memperoleh sekitar 3.94% undi popular keseluruhan.

Penganalisis turut melihat kelemahan struktur organisasi, jentera pilihan raya dan kegagalan memperbaharui kepimpinan sebagai antara masalah utama yang perlu ditangani jika Bersatu mahu kekal relevan.

Ini menunjukkan persoalan Bersatu bukan lagi sekadar siapa yang berada dalam pejabat parti, tetapi sama ada jenama itu sendiri masih mempunyai tarikan yang cukup kuat kepada pengundi.

Kalau sebuah parti semakin sukar memenangi kerusi apabila bertanding dengan kekuatannya sendiri, naratif bahawa parti masih kukuh tentu akan semakin sukar dipercayai oleh rakyat.

Pengalaman Muhyiddin tidak mencukupi kalau jentera, akar umbi dan sokongan pengundi semakin mengecil.

SUMBER: https://prn.bernama.com/johor/news.php?id=2579826

Muhyiddin boleh terus sebarkan naratif Bersatu masih kuat, namun keadaan parti itu sendiri sukar disembunyikan di hadapan rakyat.

Muhyiddin masih Presiden parti tetapi jawatan di atas kertas tidak menyelesaikan pergolakan akar umbi, sekutu lama yang semakin menjauh dan hala tuju parti yang terus menjadi persoalan.

Bersatu terlalu bergantung kepada pemimpin seperti Muhyiddin untuk terus menjadi wajah utamanya.

Bersatu perlu memikirkan strategi baharu, sama ada mahu terus bergantung kepada Muhyiddin atau tidak untuk kembali berkuasa.

Desakan menjatuhkan Muhyiddin perlu didengari kalau perkara itu yang perlu dibuat untuk pastikan Bersatu tidak terkubur terus.

Comments